Monday, November 3, 2014

PAP SMEAR: APA ANDA PERLU TAHU DAN AMBIL TAHU?

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, hari ini akhirnya dapat jugak pergi buat pap smear... sebelum ni asyik bertangguh je.. tapi bila memikirkan betapa pentingnya pemeriksaan pap smear ni, gagahkan juga pergi klinik kesihatan bersama 2  orang peneman setia mama.. :-)

Sebenarnya ini adalah kali ketiga saya melakukan pap smear. Tiap kali selepas bersalin saya akan pastikan saya menjalani pemeriksaan pap smear ini.

Penting tau sebenarnya ujian pap smear ni... ramai yang ambik mudah dan tak aware kepentingan ujian pap smear ni. Ujian ni adalah bertujuan untuk mengesan keadaan pra-kanser (sebelum terjadi) iaitu terdapat sel serviks luar biasa yang boleh mengakibatkan kanser servik.

Sakit ke ujian ni?? hmm bagi saya tak sakit pon... biasa-biasa sahaja. So kawan-kawan tak perlu rasa risau, ngeri atau takut bila nak buat pap smear ni. Prosedur pon sangat mudah sahaja. Beberapa minit saje dah settle. 

Selain tu, nurse mengingatkan saya supaya kita kerap melakukan pemeriksaan payudara sendiri dirumah. Jika terdapat ketulan atau benjolan yang meragukan, cepat-cepat buat pemeriksaan di klinik. So be aware ye kawan-kawan.. sama-sama kita menjaga kesihatan diri.



Ok lah, jom kita baca secara detail tentang Pap Smear ni..

PAP SMEAR DAN WANITA: APA ANDA PERLU TAHU DAN AMBIL TAHU?

Pap smear juga dikenali sebagai ujian papanicolaou. Ujian ini dilakukan dengan mengambil sedikit tisu dari pangkal serviks kemudian, tisu itu dihantar ke makmal untuk mengesan tisu-tisu yang abnormal dan berpotensi untuk menjadi kanser. Biasanya sel serviks tidak berubah menjadi sel kanser dalam masa semalaman. Sel yang normal akan mengalami beberapa perubahan dalam jangka masa tertentu sebelum menjadi sel kanser. Pap smear boleh mengesan perubahan pada sel di peringkat awal sebelum ia berubah menjadi sel kanser. Masa yang diambil bagi sel normal untuk menjadi sel kanser adalah di antara 2 hingga 10 tahun. Jadi, sekiranya pap smear dilakukan setiap 3 tahun, peluang untuk mengesan sel-sel yang berpotensi menjadi sel kanser adalah cerah sebelum ia menjadi kanser serviks. Rawatan di peringkat awal mempunyai peluang yang cerah untuk sembuh.


BILA WAKTU YANG SESUAI?

Anda patut melakukan ujian pap smear setelah anda mula mengamalkan seks atau mencapai umur 26 tahun sehinggalah anda berusia 70 tahun. Wanita yang telah menjalani histerektomi (membuang rahim dan serviks) tidak perlu lagi melakukan pap smear melainkan sebab pembuangan rahim adalah sebagai rawatan pra kanser. Wanita yang telah menjalani histerektomi subtotal (membuang uterus tanpa membuang serviks) masih perlu melakukan pap smear secara berkala.


APA YANG PERLU SAYA LAKUKAN SEBELUM UJIAN PAP SMEAR?

Ujian pap smear tidak boleh dijalankan semasa haid kerana sel yang diambil pada waktu ini biasanya tidak memadai dan kehadiran darah haid juga akan menyukarkan penilaian ke atas sampel yang diperolehi. Anda dinasihatkan menjalani pap smear pada hari ke-7 hingga hari ke-10 kitaran haid (hari pertama datang haid adalah hari 1). Anda perlu mengelak dari melakukan perkara-perkara berikut sebelum ujian :

1. Melakukan seks
2. Menyembur kawasan vagina
3. Menggunakan tampon
4. Menggunakan krim vagina


APA YANG DILAKUKAN SEMASA UJIAN PAP SMEAR?

  1. Anda akan diminta untuk berbaring di atas katil dengan lutut dinaikkan dan dibengkokkan.
  2. Spekulum (muncung itik), sepanjang 4 inci,akan dimasukkan ke dalam vagina untuk membolehkan ia terbuka.
  3. Dengan pandangan selari, doktor akan memasukkan spatula kayu, untuk mengambil sampel sel dari servik.
  4. Sampel tersebut kemudiannya disebarkan di atas slaid kaca dan di sembur dengan alkohol. Seterusnya, ia dihantar ke makmal untuk diperiksa oleh ahli patologi.

Anda akan berasa sedikit tidak selesa walaubagaimanapun, keseluruhan prosedur ini tidak menyakitkan.


APAKAH KELEBIHAN LAIN PAP SMEAR?

Semasa prosedur pap smear, doktor juga boleh mengesan polip dan jangkitan-jangkitan lain.


BERAPA LAMA KEPUTUSAN AKAN DIKETAHUI?

Anda boleh mendapatkan keputusan anda dalam masa seminggu. Sekiranya keputusan anda abnormal, jururawat akan menghubungi anda dan meminta anda untuk datang semula untuk membuat ujian ulangan serta berunding dengan doktor. Walaubagaimanapun, keputusan yang abnormal tidak bererti anda menghidap kanser serviks sebaliknya, ia bererti anda memerlukan pemeriksaan lanjut.


SIAPA YANG BERISIKO UNTUK MENDAPAT KANSER SERVIKS?

Wanita yang dijangkiti Human Papillomavirus dibahagian serviks mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser serviks. Human Papillomavirus biasanya menjangkiti mereka yang melakukan seks rambang kerana ia adalah sejenis penyakit bawaan seks. Kanser serviks juga kerap terjadi dikalangan waita yang merokok.


DI MANA SAYA BOLEH MENJALANI UJIAN INI?

Anda boleh menjalani pap smear di klinik kesihatan, klinik sakit puan, pusat bersalin atau mana-mana klinik pengamal perubatan yang menawarkan ujian pap smear.

Rujukan : Hospital Metro Materniti, Klang, Malaysia. 

2 comments: