Assalamualaikum..
Tahukah kawan-kawan semua bahawa wanita pada hari ini diancam dengan pelbagai masalah kesihatan termasuklah masalah kesuburan. Saya mula tersedar tentang hakikat ini apabila saya sendiri pernah didiagnosis mempunyai cyst di ovari kanan pada awal kehamilan. Pada waktu itulah saya mula mencari dan membaca maklumat tentang masalah-masalah berkaitan wanita.
Ramai juga dikalangan kita yang masih tidak tahu apa itu PCOS dan saya sendiri juga kurang arif tetapi apabila ramai wanita yang ingin hamil memberitahu mempunyai pcos dan belum juga berjaya hamil, hati saya tertanya-tanya adakah pcos antara punca mereka sukar hamil?
Sindrom Ovari Polisistik (Polycystic Ovarian Syndrome- PCOS) merupakan gangguan hormon paling tinggi di kalangan wanita yang berada pada peringkat subur. Ia juga menjadi salah satu faktor ketidaksuburan dalam kalangan wanita.
Antara ciri utama PCOS adalah pengovulan (proses bertelur) tidak berlaku atau tiada pengovulan yang tetap pada setiap bulan. Selain itu peningkatan aras hormon androgen (hormon lelaki) yang berlebihan dalam badan wanita turut menjadi punca.
PCOS dikenal juga sebagai Sindrom Stein-Leventhal iaitu masalah paling lazim yang menyebabkan seseorang wanita itu gagal hamil, tetapi malangnya sehingga kini tidak banyak yang diperkatakan tentang hal ini.
Kajian antarabangsa menunjukkan kira-kira 20 peratus wanita yang berusia lebih daripada 20 tahun mengalami masalah ini, dan lebih daripada 40 peratus wanita yang mempunyai masalah kesuburan adalah disebabkan PCOS.
Gejala
"Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, punca sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. PCOS boleh menjadi tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang penghidap dengan penghidap yang lain,'' kata Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain.
Beliau merupakan Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik dan Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan.
Menurut Dr. Nik Hazlina, antara yang mungkin berlaku termasuklah kedatangan haid tidak teratur (oligomenorea) dan kadangkala ketiadaan haid (amenorea), bulu roma berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), jerawat yang teruk dan kronik, obesiti, keguguran berulang, kulit menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan) dan botak menyerupai lelaki (male baldness).
Sindrom ini juga dikaitkan dengan peningkatan risiko mendapat penyakit diabetes melitus, peningkatan aras kolesterol darah dan juga hipertensi.
Akhirnya, masalah ini akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung atau dikenal juga sebagai penyakit kardiovaskular.
Klasifikasi
Tambah Dr. Nik Hazlina, terdapat beberapa klasifikasi bagi mendiagnosis sindrom ini. Pada 2003, pakar-pakar dari Amerika dan Eropah bersepakat menyatakan bahawa PCOS perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada tiga ciri berikut iaitu
(i) Masalah pengovulan, iaitu tempoh kitaran haid yang lama (contohnya kedatangan haid yang tidak tetap, setiap 2 - 3 bulan), tempoh perdarahan yang lama dan perdarahan yang sedikit.
(ii) Bukti terdapat kadar hormon lelaki, androgen yang tinggi (sama ada secara kadar biokimia atau secara manifestasi klinikal), iaitu hirsutisme (terdapat bulu tumbuh pada kawasan yang khusus untuk lelaki seperti misai dan janggut), jerawat, kulit yang lebih gelap pada bahagian lipatan (bahagian leher, celah ketiak dan celah paha) dan juga botak di bahagian depan kepala.
(iii) Pemeriksaan imbasan ultrabunyi melalui faraj menunjukkan terdapat banyak folikel yang kecil dan tidak membesar secukupnya untuk mengeluarkan ovum dalam proses pengovulan. Klasifikasi yang disebutkan ini juga dikenal sebagai klasifikasi Rotterdam.
Metabolisme rendah
Kebanyakan wanita yang menghidap PCOS mempunyai metabolisme yang rendah sehingga menyebabkan masalah berlebihan berat badan (obesiti), terutamanya di kawasan pinggul. Sebenarnya, PCOS merupakan keadaan yang akan dihadapi sepanjang hidup melibatkan semua peringkat umur, bukan sahaja dalam tempoh masa kesuburan.
Rawatan bagi sindrom ini berdasarkan masalah yang dihadapi oleh setiap individu berkenaan.
Rawatan
Rawatan PCOS ini juga bergantung pada usia wanita dan keinginannya untuk hamil.
Dr. Nik Hazlina menjelaskan, rawatan penting untuk mengurangkan risiko kanser rahim, terutama jika kitar haidnya terlalu lama dan mengalami perdarahan yang terlalu banyak.
Selain itu, penghidap PCOS juga memerlukan rawatan jangka panjang dan motivasi yang tinggi dalam dirinya sendiri.
"Ubat-ubatan sahaja tidak akan membantu penghidap PCOS, malah setiap orang juga perlu berusaha untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat," tambahnya.
Kesuburan
Lebih kurang 80 peratus daripada penghidap PCOS mengalami masalah ketidaksuburan atau dikenal juga sebagai mandul (infertiliti).
Tambah Dr. Nik Hazlina, masalah ketidaksuburan memberikan impak fizikal dan sosial kepada pasangan yang mengalaminya, khususnya pihak isteri. Keadaan itu boleh menyebabkan tekanan perasaan, tidak dapat menerima hakikat kekurangan diri, berasa rendah diri, mudah berasa diri dipinggirkan dan suka bersendirian atau memencilkan diri.
"Pada masa ini, terdapat pelbagai kaedah rawatan ketidaksuburan bagi pesakit yang menghidap penyakit ini. Terdapat beberapa faktor mempengaruhi pilihan rawatan yang akan digunakan. Kaedah rawatan yang dipilih biasanya di atas persetujuan pesakit," ujarnya.
Ubat-ubatan
Penggunaan ubatan juga merupakan kaedah untuk merawat masalah ketidaksuburan. Terdapat pelbagai jenis ubatan antaranya Metformin, yang tergolong dalam kumpulan ubat perangsang insulin.
Dr. Nik Hazlina menerangkan, ubat ini bertindak dengan mengembalikan kadar insulin daripada aras yang tinggi kepada normal.
Namun terdapat kesan sampingan, terutamanya pada peringkat awal pengambilan ubat ini. Antaranya termasuklah loya, cirit-birit dan perut kembung.
Walaupun tiada lagi laporan tentang kesan sampingan ubat ini terhadap kandungan, namun pengambilan ubat hendaklah dihentikan apabila seseorang wanita itu disahkan hamil.
"Clomiphene citrate juga merupakan ubat untuk merawat infertiliti. Kajian menunjukkan bahawa gabungan Metformin dan Clomiphene telah menunjukkan kejayaan pengovulan pada 90 peratus penghidap PCOS.
''Ubat ini tidak boleh diberikan lebih daripada 12 kitar haid bagi individu yang tidak pernah hamil kerana risiko mendapat kanser ovari meningkat untuk jangka masa panjang.
''Pengambilan Clomiphene sahaja mencatat kadar pengovulan 70 hingga 80 peratus dan kadar kandungan yang berjaya hamil sebanyak lebih kurang 40 peratus,'' katanya.
Menurut Dr.Nik Hazlina, terdapat juga sebilangan pesakit yang masih tidak berjaya mencapai pengovulan walaupun diberikan Clomiphene sehingga dos maksimum. Keadaan itu dikenali sebagai kerintangan Clomiphene (Clomiphene resistance).
Terdapat ubat lain seperti suntikan hormon Gonadotrofin untuk membantu dalam perkembangan ovum. Kaedah ini berkesan tetapi mahal, memakan masa dan memerlukan kepakaran.
" Bagi kaedah suntikan ini, biasanya penghidap PCOS akan menjalani rawatan secara permanian beradas (intrauterine insemination). Peluang untuk hamil bagi setiap pusingan adalah lebih kurang sebanyak 5 hingga 10 peratus sahaja. ''Cara ini disarankan sebanyak tiga hingga empat kali sahaja dan jika masih gagal untuk hamil, maka kaedah seterusnya adalah secara bayi tabung uji atau persenyawaan in-vitro (In-vitro fertilization, IVF) yang mempunyai kadar peratus kejayaan hamil dalam 30 peratus.
Impak sosial
Menurut Dr. Nik Hazlina, rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu sering melihat kebolehan melahirkan anak sebagai salah satu kewajipan selepas berkahwin.
"Selepas beberapa tahun berkahwin dan pasangan tersebut masih tidak mempunyai anak boleh menyebabkan masyarakat sekeliling memandang serong dan membuat pelbagai tanggapan negatif.
''Pesakit yang mengalami masalah ketidaksuburan berasa tertekan dan tidak dapat bergaul dengan masyarakat dan boleh membawa kepada pelbagai masalah lain.
''Oleh itu, sokongan keluarga dan masyarakat sekeliling amat penting bagi penghidap PCOS dan pesakit lain yang mengalami masalah ini," ujarnya.
Bagi Dr. Nik Hazlina, mentaliti masyarakat perlulah diubah supaya tidak sewenang-wenangnya mengadili orang lain dan menyebarkan pelbagai cerita.
Di samping itu, pesakit PCOS juga perlu mengetahui masalah yang dihadapinya supaya dapat diberi rawatan sewajarnya.
Sumber: http://www.utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment