Thursday, November 27, 2014

// // Leave a Comment

Tips Dan Petua Mudah Hamil Mengikut Cara Islam

Assalamualaikum..

Ramai antara kita yang telah berusaha sedaya upaya untuk hamil dan macam-macam tips dan petua telah kita lakukan. Kebanyakan tips yang selalu kita lakukan adalah menjurus kepada tips yang berasaskan saintifik.

Kita sebagai orang Islam perlu percaya bahawa rezeki anak itu adalah dengan izin Allah dan rahmat Allah. Kita diwajibkan berusaha dan selebihnya serahkan kepada Allah S.W.T.

Hari ini saya ingin kongsikan tips dan petua mudah hamil mengikut cara Islam sebagai panduan kita bersama. Tips ini sebenarnya lebih selamat digunakan kerana ia berpandukan ayat-ayat suci al-Quran.

Tips Dan Petua Mudah Hamil Mengikut Cara Islam


Siapa yang bergelar suami isteri di dunia ini yang tidak mahu dipanggil ayah dan ibu, siapa yang tidak mahu ada zuriat. Anak adalah anugerah Ilahi yang paling berharga, terasa sunyi jika tiada anak atau masih belum dikurniakan anak.

Firman Allah SWT dalam surah (asy-Syura: 49-50) yang bermaksud : 

“Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Anak adalah rezeki, amatlah beruntung kepada sesiapa yang telah dikurniakan anak lebih awal dari yang lain, bersyukurlah, jangan kufur dengan nikmat yang Allah berikan, jangan terlalu berbangga dengan kejayaan, kerana kejayaan itu milik Allah Ta’ala, bagi kita sebagai hamba hanya mambu berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakkal kerana anak itu tercipta bukan kerana kuasa manusia.

Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah Ta’ala kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Tidak dinafikan bahawa setiap pasangan berumahtangga sentiasa mengimpikan anak untuk menyerikan lagi rumahtangga mereka.

Oleh itu, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak. – hasnulhadiahmad.com

Doa Dan Amalan Untuk Mendapat Zuriat


Melalui perkahwinan, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai menurut tuntutan Ilahi, dapat memenuhi tuntutan biologi. Malah tujuan perkahwinan juga adalah untuk mendapatkan zuriat melalui ikatan sah di sisi agama dan undang-undang. Namun, tidak semua pasangan suami isteri beroleh zuriat setelah berkahwin. Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat dan ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga tua disebabkan perkara-perkara tertentu. Tetapi perlu diingat bahawa semua yang berlaku itu adalah dengan izin dan kehendak ALLAH s.w.t.

Oleh yang demikian, mereka yang beriman dan percaya dengan ketentuanNYA akan redha dengan segala apa yang terjadi terhadap diri mereka. Akan tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu akur dan berserah dengan apa yang terjadi tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki zuriat. Dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.

1. Pertama

Bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.”

Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah ALLAH s.w.t. Maka baginda meyakini bahawa ALLAH berkuasa mengurniakan baginya anak. Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.


2. Kedua

Bersangka baik dengan ALLAH s.w.t serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud:


“Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.”

Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya.Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat. Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah ALLAH s.w.t. yang hebat ini.

Bagi ibu yang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya.

Amalan-Amalan Untuk Mendapat Zuriat


Setelah berusaha dengan perubatan moden dan kampung untuk memperoleh zuriat bahkan telah berdoa kepada Allah, namun belum memperoleh zuriat, maka kita dituntut supaya banyak bersabar dan jangan dalam keadaan tertekan. Perasaan yang tidak stabil akan mengganggu keadaan dalam diri anda dan ini akan menyukarkan lagi bagi anda berdua untuk memperolehi zuriat.

Di dalam berdoa kita disuruh menaruh harapan seratus peratus kepada Allah dan yakin bahawa Allah berkuasa untuk mengabulkan doa kita tersebut. Yang paling penting awali doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW begitu juga dalam menutup doa.

Mungkin anda semua boleh mencuba amalan di bawah ini, semoga Allah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk anda dalam penantian untuk mendapatkan zuriat.

1. Amalan pertama.

Selepas Fajar ataupun Solat Subuh
- Baca Bismillah 1 kali
- Kemudian selawat kepada Nabi Muhammad SAW 3 kali.
- Setelah itu sujud dan baca kalimah syahadah 101 kali
- Dalam sujud tersebut mohonlah kepada Allah apa yang kita hajatkan. 
(Umpamanya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada hamba mu zuriat atau anak yang soleh yang Engkau berkati di dunia dan akhirat)
- Kemudian tutup doa tersebut dengan membaca selawat 3 kali.

Amalkanlah cara ini baik suami ataupun isteri selama 15 hari atau teruskan jika masih belum berhasil dan jangan merasa putus asa. Sebab Allah tidak suka terhadap orang yang suka berputus asa.


2. Amalan kedua.

- Suami hendaklah membaca “Ya Mutakabbir” (Allah Yang Maha Memiliki Keagungan ) sebanyak 11 kali sebelum mengadakan jimak.
- Isteri hendaklah membaca “Ya Awwal” (Yang tiada permulaan adaNya) 333 Kali setiap hari.
- Isteri hendaklah membaca setiap hari “Ya Zaljalaali Wal Ikram” 11 kali kemudian tiup di dalam air dan air tersebut diminum.
- Suami isteri hendaklah membaca surah Yusuf / surah Maryam setiap hari.

Amalkanlah dengan penuh harap agar dimakbulkan oleh Allah SWT akan zuriat yang baik dan mendapat rahmat daripada-Nya. – Ustazah Siti Nor Bahiyah

Sumber: Fuh.My


Semoga ia memberi manfaat buat kita...jika sekarang anda sedang berusaha untuk hamil, jadikan lah juga ini sebagai panduan.. semoga usaha kita diberkatiNya.. ameen

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...