Apa yang ibu bapa perlu tahu dan lakukan jika bayi demam? Tidak semua ibu bapa tahu apa yang perlu dilakukan apabila bayi demam.
Sebagai ibu bapa pastinya anda akan risau apabila merasakan suhu badan anak anda mulai panas. Jangan panik sebaliknya bertenang.
BILAKAH BAYI DIKATAKAN DEMAM?
Suhu badan yang normal ialah 36.7 C. Bayi dikira demam apabila suhu badan mereka mececah lebih dari 37°C. Apabila benda asing masuk ke dalam badan bayi seperti virus, mikrob berbahaya atau alergen ini boleh mencetuskan demam.
Sistem pertahanan bayi mempunyai peranan untuk mengenalpasti, menghancurkan, serta meneutralkan benda-benda asing atau sel-sel tidak normal yang boleh memudaratkan tubuh.
Proses ini akan menyebabkan suhu badan naik dan peningkatan ini mempunyai keupayaan untuk menghentikan virus berbahaya dari merebak.
Inilah sebab mengapa tidak semua demam harus diberi ubat. Kadang-kadang ia adalah lebih baik untuk membiarkan demam bayi itu pulih sendiri tanpa ubat penahan demam.
Bayi boleh mengalami 3 jenis tahap demam iaitu:
- Demam ringan (low grade) – kenaikan suhu badan yang sedikit sehingga 37 ºC, kadang-kala sehingga 37.5 ºC.
- Demam biasa (mid grade) – kenaikan suhu badan sehingga 38-38.5 ºC.
- Demam tinggi (high grade) – apabila suhu badan naik sehingga 39 ºC atau lebih lagi.
BAGAIMANA SAYA BOLEH TAHU DEMAM BAYI DIKATAKAN BAHAYA?
Kelakuan bayi anda lebih penting daripada suhu badannya. Jika dia mempunyai demam pada 38.9 darjah C, menyusu dengan baik, bertindak balas dan mudah ditenangkan, anda tidak perlu risau, tetapi jika suhu dia ialah 38.2 darjah C, asyik menangis, lemah dan tidak aktif, anda perlu risau.
Hubungi pakar pediatrik anda jika:
- bayi anda berkelakuan aneh
- tiba-tiba dia menangis lebih daripada biasa dan anda tidak boleh menenangkannya seperti biasa
- dia amat letih dan tidak menyusu.
Anda perlu lebih berhati-hati dengan bayi yang lebih kecil terutamanya bayi yang di bawah tiga bulan dan doktor akan membuat pemeriksaan yang lebih lanjut pada bayi-bayi ini.
Bayi selalunya akan mudah sakit tetapi mereka juga mudah sembuh. Walau bagaimanapun, anda perlu hubungi doktor anda jika bayi anda demam selama lebih daripada tiga hari.
APAKAH YANG DILAKUKAN APABILA BAYI DEMAM?
1. Ambil suhu badan bayi anda apabila dia tidak menangis untuk mendapatkan hasil yang lebih tepat.
2. Buka tingkap dan udarakan bilik. Kurangkan suhu di dalam bilik.
3. Jika bayi anda kurang dari 1 tahun atau mempunyai sejarah sawan, berikan ubat demam apabila suhu mereka melebihi 38 ºC. Bayi yang lebih tua dan tidak mempunyai sejarah sawan – cuba gunakan tuala dan air suhu bilik untuk menurunkan suhu badan dulu.
4. Gunakan tuala basah dengan air suhu bilik dan letakkan tuala itu pada dahi bayi, leher dan lengan. Jangan gunakan air sejuk atau air berais.
5. Cuba beri ubat paracetamol sirap mengikut dos yang sesuai. Sesetengah doktor akan memberikan ibuprofen. Untuk bayi berusia kurang dari 3 bulan sila dapatkan nasihat doktor, jangan beri ubat sebarangan.
6. Jangan paksa bayi untuk makan jika mereka tidak berselera. Sebaliknya, ibu menyusu digalakkan untuk menyusukan anak mereka dengan banyak atau pastikan bayi anda minum dengan secukupnya. Badan mereka akan berpeluh untuk menyejukkan badan. Tetapi jika tubuh mereka kehilangan terlalu banyak air, kelenjar peluh mereka mungkin boleh berhenti berfungsi untuk mengelakkan dehidrasi. Ini akan menyukarkan penurunan suhu badan.
7. Ibu bapa perlu membawa bayi berjumpa doktor untuk ketahui punca demam. Tetapi jika anda tidak dapat berjumpa doktor dengan segera, terus kawal suhu badan bayi dengan tuala dan ubat demam setiap 6-8 jam. Catatkan kesan ubat demam serta tanda-tanda perubahan.
8. Pastikan mereka mendapatkan rehat yang secukupnya.
DOA DEMAM PANAS
Selain daripada cara diatas, sebagai ibu bapa kita juga digalakkan berdoa. Lebih-lebih lagi doa seorang ibu untuk anaknya adalah mustajab. Saya selalu mengamalkan doa demam panas yang diambil daripada buku 'Indahnya Hidup Bersyariat'.
#Pertama: Sediakan segelas atau sebotol air masak.
#Kedua: Baca surah Al-Fatihah (sekali)
#Ketiga: Baca Selawat Penyembuh / Syifa
#Keempat: Baca doa demam panas
#Kelima: Hembuskan atas air tadi dan diberi minum kepada pesakit. Boleh juga digunakan untuk dilapkan badan pesakit
0 comments:
Post a Comment