Tuesday, October 23, 2018

// // Leave a Comment

Tips Penjagaan Rambut Panjang Supaya Sihat Dan Cantik Menawan

Bestkan kalau dapat simpan rambut panjang mengurai, sihat, cantik dan beralun. Saya tahu ramai yang impikan rambut panjang cantik bersinar tetapi kerana beberapa faktor, kadang-kadang kita terpaksa memotong pendek.


Rambut adalah seperti mahkota seorang wanita. Ia perlu dijaga dengan rapi supaya kekal sihat, cantik dan menawan walaupun anda seorang yang bertudung. 


Tak mudah sebenarnya hendak menjaga rambut yang panjang. Lebih-lebih lagi jika anda seorang ibu. Menjaga rambut seperti juga menjaga anak-anak, perlu dibelai dan dimanja. Dan jika dibiarkan maka akan kusam, kusut dan bercabang. Lebih teruk lagi akan menyebabkan kulit kepala berkelumumur dan rambut berbau.

Saya yakin ramai sayangkan rambut masing-masing tidak kiralah ia panjang atau pendek. Memiliki rambut yang sihat, cantik dan menawan bukan sahaja membuatkan anda nampak cantik malah anda juga nampak hebat.

BAGAIMANAKAH PENJAGAAN RAMBUT PANJANG SUPAYA SIHAT DAN CANTIK MENAWAN?


Mempunyai rambut yang panjang merupakan anugerah yang tidak ternilai. Jadi jagalah ia sebaik mungkin. Jom ikuti tips penjagaan rambut panjang yang anda boleh gunakan.

#1. Gunakan Produk Rambut Bersesuaian


Pastikan anda menggunakan syampu dan perapi yang bersesuaian dengan rambut dan kulit kepala anda. Pilihlah syampu dari ramuan semulajadi.

Semasa mencuci rambut dengan syampu, ratakan sedikit syampu pada seluruh kepala dan bilas dengan air. Urut kepala secara perlahan untuk menyihatkan akar-akar rambut.

Jika anda menggunakan khidmat salun, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat pakar rambut untuk memilih syampu dan perapi yang sesuai.

#2. Keringkan Rambut Dengan Lembut


Elakkan mengeringkan rambut dengan cara yang kasar untuk mengelakkan rambut kusut dan gugur. Seeloknya keringkan rambut secara semulajadi.

Tetapi jika anda tidak mempunyai masa yang panjang, anda boleh menggunakan alat pengering rambut yang bersesuaian. Pastikan suhu pengering rambut rendah atau boleh juga menggunakan kipas.

#3. Jangan Lupa Berus Dan Sikat Rambut 


Untuk mereka yang memiliki rambut panjang, dinasihatkan menggunakan berus rambut berbulu dengan permukaan bulat.

Mulakan memberus dari bahagian atas kepala sehingga ke bawah. Kemudian berus dari bahagian rambut yang dalam pula. Selepas memberus, gunakan jari untuk memberi kesan yang lebih semula jadi.

Kalau memberus rambut bertujuan untuk memperbaiki struktur rambut manakala menyikat rambut adalah untuk memperkemas dan menggayakan rambut.

Bahagikan rambut pada beberapa bahagian yang kecil, dengan menggunakan sikat bergigi jarang, sikatlah rambut perlahan-lahan bermula dari atas ke bawah.

Elakkan memberus dan menyikat rambut semasa ia basah dan berpintal.

#4. Jangan Ikat Rambut Terlalu Ketat


Buat mereka yang bertudung, kebiasaannya anda akan mengikat rambut sebelum mengenakan tudung. Longgarkan ikatan agar rambut mampu 'bernafas'.

Buat mereka yang mempunyai tabiat mengikat dan sanggul rambut, sesekali lepaskanlah rambut. Biarkan ia mengurai cantik.

#5. Potong Atau Trim Rambut


Sesekali anda perlu memotong atau trim bahagian hujung rambut yang bercabang dan bermasalah. Memotong bahagian hujung rambut anda tidak memberi sebarang kesan terhadap folikel rambut pada permukaan kulit kepala. Namun, ia mampu menjadikan rambut yang tumbuh kekal sihat dan cantik tanpa kehadiran split ends dan rambut rapuh.

#6. Rawatan Rambut (Jika Perlu)


Akhir sekali, jika anda benar-benar mempunyai masalah rambut dan kulit kepala, sila dapatkan rawatan. Terdapat banyak salun yang menawarkan khidmat rawatan rambut dan kulit kepala atau anda juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada ahli farmasi untuk syampu yang sesuai.

Selamat Menjaga Rambut Anda dan Semoga Bermanfaat!!




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...